MUNGKIN ada pihak bertanya, Apakah hikmah Allah SWT tidak mikrajkan
Nabi s.a.w. dari Masjid al-Haram di Makkah terus ke langit, tanpa melalui
Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis?
Sesungguhnya Masjid Al-Aqsa di Baitul Maqdis itu mempunyai nilai yang sangat tinggi di sisi Allah SWT, andainya Nabi s.a.w. dimikrajkan terus dari Masjidil Haram di Makkah tanpa singgah di Masjidil-Aqsa, maka sukar bagi umat Muhammad untuk memahami sejauh mana
kelebihan masjid tersebut. Apabila ia dikaitkan dengan peristiwa israk mikraj dan
Nabi s.a.w. mendirikan solat di masjid Al-Aqsa bersama para nabi yang lain,
maka umat muslimin boleh merasai kehebatan dan kelebihannya melalui
peristiwa tersebut.
Hikmah kedua Nabi s.a.w. diisrakkan ke Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis ialah
untuk menjelaskan tentang hubungan antara Nabi Isa a.s. seorang Nabi dan
Rasul Allah mempunyai hubungan rapat dengan masjid tersebut, antara perkara
yang diwahyukan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad s.a.w. mempunyai
hubungan rapat dengan Nabi Isa a.s..
Berasaskan hubungan rapat antara Nabi Muhammad s.a.w. dengan Nabi Isa a.s.
bahawa kedua rasul itu membawa ajaran yang satu iaitu Islam yang berasaskan
aqidah keTuhanan yang Esa. Dengan hujah dan dalil itu menunjukkan bahawa
kedua-dua umat Nabi Muhammad s.a.w. dan Nabi Isa a.s. adalah dari rumpun
aqidah yang sama. Sewajarnya mereka tetap bersatu mendokong ajaran tauhid
yang sama. Kerana Tuhan yang menurunkan wahyu kepada Nabi Muhammad
s.a.w., maka Tuhan itu juga yang menurunkan wahyu kepada Nabi Isa a.s.. Dan
sewajarnya juga mereka menolak aqidah treniti hasil penyelewengan para paderi
yang berkepentingan.
Sebab itu dalam peristiwa israk mikraj itu Nabi diperintah singgah mendirikan
solat di Masjid Al-Aqsa, seolah-olah Nabi s.a.w. singgah ke rumah saudaranya
Nabi Isa a.s., maka sudah sewajarnya ummat kedua-dua Nabi dan Rasul
berkenaan tidak bercanggah pendapat dan jauh sekali dari sifat permusuhan.
Hakikatnya bukan saja hubungan rapat antara Nabi Muhammad s.a.w. dengan
Nabi Isa a.s. sahaja, bahkan Nabi Muhammad rapat dengan semua nabi-nabi
dan rasul. Kerana peristiwa israk mikraj itu juga telah menemukan Nabi
Muhammad dengan nabi-nabi dan rasul terdahulu. Justeru itu umat para
nabi-nabi dan rasul itu tidak patut mereka berperang sesama sendiri,
memandangkan bahawa nabi-nabi dan rasul mereka begitu baik hubungan
dengan Nabi Muhammad s.a.w.. Jika para nabi itu bersatu mendokong aqidah
tauhid, maka tiada alasan umat para nabi itu berpecah dari segi aqidah. Mereka
mesti bersatu dalam aqidah tauhid, sebaliknya menolak semua fahaman karut
ciptaan para paderi.
Dengan demikian juga menjadi dalil tentang bagaimana perlunya umat Islam
berfahaman begitu di setiap masa, iaitu wajib menjaga bumi suci Baitul Maqdis
dan mengawal dari gangguan pihak-pihak yang tamak dan juga puak-puak
musuh agama Allah iaitu agama tauhid. Seolah-olah Allah SWT memberi isyarat
kepada umat yang berpegang dengan ajaran Islam dan aqidah yang murni itu,
supaya jangan merasa lemah, takut dan bacul di depan Yahudi yang bertekad
untuk terus menguasai Baitul Maqdis dan bumi Palestin, kerana ia adalah bumi
para anbiya. Seluruh umat para nabi khususnya umat nabi yang terbabit dalam
peristiwa israk mikraj mestilah menaruh azam untuk merampas kembali bumi
Baitul Maqdis dan Palestin, untuk diserahkan kembali kepada rakyat Palestin
yang beriman.
Mengapakah suatu ketika dahulu "Salahuddin Al-Ayubi" bersama tentera Islam
bermati-matian mempertahankan Baitul Maqdis , ketika diserang oleh tentera
Salibiah Eropah. Sedangkan Salahuddin Al-Ayubi bukan rakyat Arab Palestin,
beliau adalah dari keturunan Kurdi, satu bangsa yang mendiami utara Iraq yang
bersepadan dengan Turki. Beliau berjaya menumpaskan serangan tersebut,
malah berjaya menghalau saki baki tentera kristian itu dari bumi Palestin.
Apakah yang mendorong beliau bertindak demikian, dan tidak menyerahkan
urusan mempertahan kota Baitul Maqdis itu kepada rakyat Palestin untuk
mempertahankan tanah air mereka sendiri? Sebaliknya Salahuddin Al-Ayubi
ketika dipenghujung hayatnya telah berpesan supaya segala pakaian penuh
berdebu yang digunakan semasa berperang, agar dimasukkan di dalam liang
kubur dan ditanam bersama jenazahnya. Dengan tujuan supaya menjadi saksi
bahawa beliau telah menghabis segala tenaga dan fikiran untuk mengetuai tentera
Islam bagi mempertahankan Baitul Maqdis dari serangan tentera Kristian
Eropah.
Sesungguhnya yang mendorong Salahuddin Al-Ayubi bertindak demikian ialah
kerana didorong kesedaran yang tinggi untuk mempertahan kota suci iaitu kota
yang telah menemukan Nabi Muhammad s.a.w. dengan para anbiya yang lain,
khususnya dalam peristiwa Israk mikraj. Sebagai seorang Islam beliau
berkeyakinan bahawa apabila bumi suci Baitul Maqdis itu diganggu oleh
golongan kuffar, adalah menjadi kewajipan kepadanya dan juga umat Islam
seluruhnya bangun untuk mempertahankan atau membebaskan bumi tersebut
dari cengkaman musuh Allah SWT itu, tidak kira sama ada mereka orang
Palestin ataupun bukan.
Empat puluh tahun selepas peristiwa itu, Lord Olenby yang mengetuai pasukan
salibiah berjaya memasuki semula kota Baitul Maqdis, dia pergi ke kubur
Salahuddin Al-Ayubi dan menginjakkan kakinya ke atas kubur Salahuddin
sambil berkata: "Sekarang aku datang semula ke sini." alangkah baculnya ketua
tentera salibiah itu, dia hanya berani berdepan dengan Salahuddin yang telah
mati, dengan mesej bahawa pihak salibiah sentiasa menyimpan dendam terhadap
Islam. Bagi Salahuddin Al-Ayubi, beliau telah melaksanakan tanggungjawabnya
mempertahankan kota suci terletaknya Masjid al-Aqsa yang mulia, tempat Nabi
Muhammad s.a.w. mendirikan solat dua rakaat dalam peristiwa Israk dan
Mikraj.
Di Baitul Maqdis itu juga Nabi s.a.w. melepasi satu ujian, ketika Jibril
menghidangkan dua bejana, satu berisi arak dan satu lagi berisi susu. Nabi
s.a.w. mengambil bejana berisi susu dan meminumnya. Ketika itu Jibril berkata:
"Sesungguhnya engkau telah membuat pemilihan yang menepati fitrah
manusia."Susu adalah minuman yang bersifat fitrah amat serasi dengan
kehendak naluri manusia, secara fitrah manusia bukan makhluk yang
memerlukan minuman arak yang memabukkan itu. Apabila Nabi s.a.w. memilih
susu sebagai minuman yang serasi dengan fitrah manusia, maka demikian pula
kedudukan Islam yang dibawa oleh Nabi s.a.w. adalah ajaran agama yang
memenuhi keperluan fitrah manusia. Tidak terdapat dalam Islam satu perkara
pun yang bercanggah dengan naluri dan tabi'e manusia.
Semua peraturan yang terdapat dalam Islam, sama ada peraturan ibadat yang
menghubungkan manusia dengan Tuhan, peraturan muamalat yang membabitkan
urusan ekonomi, peraturan munakahat yang mengatur urusan nikah dan
kekeluargaan, peraturan jenayat yang melibatkan undang-undang hudud, qishash
dan seumpamanya. Apa jua yang dikehendaki oleh Islam semuanya sesuai
dengan naluri dan kemahuan manusia. Sekiranya fitrah yang ada pada hati dan
naluri manusia itu ibarat manusia, maka Islamlah pakaian bagi manusia itu yang
benar-benar memenuhi saiz ukuran dan keperluan.
Agama selain dari Islam bukan pakaian manusia, kerana ada peraturan dalam
agama tersebut yang bercanggah dengan naluri dan kehendak manusia. Contoh,
ada agama yang melarang paderi atau sami mereka berkahwin, sedangkan
kahwin adalah naluri manusia. Naluri ingin kahwin tidak dapat dibendung di
kalangan paderi dan sami, lantaran itu golongan tersebut terpaksa melakukan
zina disebabkan kononnya peraturan melarang mereka berkahwin. Ada agama
yang mengharamkan riba di kalangan mereka, tetapi menghalalkan amalan riba
kepada penganut agama lain. Amalan ini tidak sesuai dengan naluri manusia
lantaran ia bercanggah dengan konsep keadilan, kerana manusia secara
kehendak semula jadi ingin dilayan dengan adil.
Allah SWT menganugerahi agama Islam kepada manusia kerana ia adalah suatu
keperluan rohani dan jasmani manusia, menolak Islam sama ertinya membiarkan
roh dan jasad dalam kebuluran, pada hal roh dan jasad membenci kebuluran.
No comments:
Post a Comment