12/19/08

apa erti sahabat pada kita?


Sahabat adalah orang yang kita sayangi dan menyayangi kita, orang yang memahami kita,orang yang bersama kita tika susah dan senang.menerima kelebihanan kita dan berusaha memperbaiki kekurangan kita,sahabat juga sentiasa bersama kita tika dunia mengejar kita dan tidak meninggalkan kita tika dunia meninggalkan kita..sahabat adalah yang sentiasa berpesan2, bertukar2 pandangan,berbalas2 doa..x gitu?


sahabat berbeza dengan kawan. Berkawan itu ikatan di antara manusia yang agak longgar. Mungkin kawan bermain sahaja. Diikat oleh permainan yang sama. Mungkin kawan sekerja. Di luar waktu kerja, tidak lagi berkawan. Setakat itu sahaja. Mungkin kawan sekuliah. Habis kuliah,tak kenal pun...siap menjeling lagi. Mungkin juga kawan senasib. Apabila nasib sudah tidak sama, hilanglah kawan. Masing-masing buat hal sendiri..kalau terjumpa kat mana2 buat2 tak kenal.

Mengapa berkawan tidak mahu kekal? Di mana salah dan silapnya? Sedangkan fitrah semula jadi manusia memang suka berkawan. Kerana hidup bersendirian tanpa kawan, banyak cacat dan kesusahan yang dihadapi manusia. Manusia yang banyak kawan, lebih ceria dan riang hidupnya daripada orang yang hidup bersendirian. Sebab itulah tabiat manusia suka berkawan. Walaupun begitu manusia ini selalu sahaja dapat kawan dan kemudian hilang kawan. Kawan silih berganti. Payah hendak kekal hingga mati.

Mengapa ya?mungkinkah ini sebabnya?


Berkawan itu ada kepentingan peribadi.
Sama ada kedua-dua orang yang berkawan atau salah seorangnya ada kepentingan peribadi. Mungkin berkawan kerana kekayaan orang itu, atau kerana kekuatan orang itu yang mana kalau ada musuh, boleh tumpang berlindung atau menumpang pengaruhnya. Apabila tujuan tersebut sudah tiada lagi, berkawan sudah tidak diperlukan lagi.

Berkawan dengan sebab seagama, sekampung, dan lain-lain.
Berkawan apabila bertemu dengan orang yang satu kaum atau satu kampung atau seagama (walaupun agamanya tidak dipraktikkan)... Di waktu itu mungkin mereka tidak boleh sesuaikan diri dari segi agama,bahasa, bangsa atau budaya di situ. Maka di waktu itu mereka amat rapat berkawan kerana saling memerlukan antara satu sama lain mungkin sama-sama belajar di negeri atau di negara orang. Setelah berpisah atau setelah sama-sama balik ke negeri masing-masing, walaupun bertemu tetapi hubungan dah tak rapat macam dulu.
Berkawan tapi tak kekal macam berkawan ikut musim kerana ikatan ukhwah itu tak kuat. Terikat dengan perkara luaran. Terikat dengan keperluan semasa atau keadaan yang memaksa. Ia bukan dijalin oleh ikatan hati yang mempunyai akidah yang sama, ada hubung kait dengan Allah yang kekal abadi dan untuk kepentingan kedua2 sahabat yang berkekalan hingga sampai ke Akhirat.

Perlu kita faham disini beza kawan dan sahabat agar dapat kita berkongsi sama dengan sahabat, suka duka, masalah, kemahuan dan kebencian mereka. Agar perkara-perkara yang mereka perlukan bantuan, kita bantu. Manakala yang perlu dijauhi, sama-sama kita hindari dan jauhi. Jika perlu nasihat, kita beri nasihat. Apabila kita bersahabat, la budda! jaga perasaan mereka.

paling penting, kalau kita bersahabat dengan sesiapa, kita kenalah jujur dan amanah serta bertanggungjawab terhadap mereka. Sepertimana kita berlaku jujur, amanah serta bertanggungjawab kepada diri kita, begitu jugalah tanggungjawab kita kepada mereka dan keluarga mereka. Kita kenalah jaga mereka macam kita menjaga diri dan keluarga kita.

Hadis Qudsi yang bermaksud: "Cinta Kasih-Ku patut diperolehi mereka yang saling berkasih sayang kerana-Ku, cinta kasih-Ku patut dinikmati oleh mereka yang saling bersilaturrahim kerana- Ku, cinta kasih-Ku patut dikurniakan kepada mereka yang nasihat-menasihati kerana-Ku, cinta kasih-Ku patut dicurahkan kepada mereka yang kunjung-mengunjungi kerana- Ku, cinta kasih-Ku patut dinikmati oleh mereka yang saling memberi kerana-Ku. Mereka yang saling berkasih sayang kerana-Ku dan pada jalan-Ku, (mereka) berada di atas mimbar- mimbar di hari Kiamat dari cahaya suatu kedudukan yang diinginkan oleh para nabi, para siddiqin dan para syuhada." (Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban, Al Hakim dan Al Qudha` ie)

Daripada Hadis tersebut dapat disimpulkan,mereka yang bersahabat kerana Allah Taala itu akan mendapat 3 perkara iaitu:
1. Dikasihi oleh Allah dan seluruh penghuni langit.
2. Mendapat keredhaan Allah serta ganjaran pahala dan kurnia yang besar dari Allah.
3. Mendapat perlindungan Arasy di hari Akhirat.


MARI HAYATI LIRIK!!!


Kasih Sayang

Album :
Munsyid : DeHearty
http://liriknasyid.com


Umpama air yang mengalir
Sentiasa seiringan satu haluan
Itulah hakikatnya kasih sayang
Yang mekar subur di hati kita

Kasih sayang bak bunga di taman
Harus dijaga dan dibajai
Pastikan ia subur sentiasa
Agar harumannya dapat dirasai

KAsihlah kita sesama manusia
Seperti kasih Baginda pada kita
Abadikanlah di dalam jiwa
Kerana itulah kewajipan kita

Hapuskanlah segala persengketaan
Eratkan kembali persaudaraan
Jalinkan kemesraan antara kita
Syurga abadi menanti di sana

Mari kita rapatkan ukhuwah
Kerana itulah tuntutan agama
Pasti kita akan bahagia
Hidup aman dan sejahtera

lagu&lirik: Syamer, Zul & Azhar

12/14/08

Antara Wasiat-wasiat Luqmanul Hakim..



Hai anakku: ketahuilah, sesungguhnya dunia ini
bagaikan lautan yang dalam, banyak manusia yang karam
ke dalamnya. Bila engkau ingin selamat, agar jangan
karam, layarilah lautan itu dengan SAMPAN yang bernama
TAQWA, ISInya ialah IMAN dan LAYARnya adalah TAWAKKAL
kepada ALLAH.

* Hai anakku; orang - orang yang sentiasa bersedia
untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat
penjagaan dari ALLAH. Orang yang insaf dan sedar
setalah menerima nasihat orang lain, dia akan sentiasa
menerima kemulian dari ALLAH.

* Hai anakku; orang yang merasa dirinya hina dan
rendah diri dalam beribadah dan taat kepada ALLAH,
adalah orang yang tawadduk kepada ALLAH, sentiasa taqarrubkan diri
kepada ALLAH dan berusaha menghindari maksiat
kepada ALLAH.

* Hai anakku; seandainya ibubapamu marah kepadamu
kerana kesilapan yang dilakukanmu, ingatlah bahawa marahnya
ibubapamu adalah bagaikan baja bagi tanam tanaman.

* hindari dirimu dari berhutang, kerana
sesungguhnya berhutang itu boleh menjadikan dirimu
hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam.

*Dan selalulah berharap kepada ALLAH tentang
sesuatu yang menyebabkan untuk tidak menderhakai
ALLAH. Takutlah kepada ALLAH dengan sebenar-benarnya
( taqwa ), kerana engkau akan terlepas dari
sifat berputus asa dari rahmat ALLAH.

* Hai anakku; seorang pendusta akan segera hilang
air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seorang
yang buruk akhlaknya akan sentiasa banyak
berkhayal tentang hal-hal yang tidak benar. Ketahuilah,
memindahkan batu besar dari tempatnya semula itu lebih
mudah daripada memberi pengertian kepada orang yang
tidak mahu mengerti.

* Hai anakku; engkau telah merasakan betapa
beratnya mengangkat batu besar dan besi yang amat
berat, tetapi lebih daripada semua itu,
adalah bilamana engkau mempunyai tetangga (jiran) yang
jahat.

*Hai anakku; janganlah engkau mengambil orang
yang jahil sebagai utusan. sekiranya tidak ada orang
yang cerdik, sebaiknya dirimulah saja yang layak
menjadi utusan.

* Jauhilah bersifat dusta, sebab dusta itu mudah
dilakukan, bagaikan memakan daging burung, padahal
sedikit sahaja berdusta itu telah memberikan akibat
yang berbahaya.

* Hai anakku; bila engkau mempunyai dua pilihan,
takziah orang mati atau hadir majlis perkahwinan,
pilihlah untuk menziarahi orang mati, sebab ianya akan
mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedang kan
menghadiri pesta perkahwinan hanya mengingatkan dirimu
kepada kesenangan duniawi sahaja.

* Janganlah engkau makan sehingga kenyang yang
berlebihan, kerana sesungguhnya makan yang terlalu
kenyang itu adalah lebih baiknya bila makanan itu
diberikan kepada anjing sahaja.

* Hai anakku; janganlah engkau terus menelan
kerana manisnya barang dan janganlah terus
memuntahkan kerana pahitnya sesuatu barang itu, sesungguhnya
manis belum tentu menimbulkan kebahagiaan dan pahit itu
belum tentu menimbulkan kesengsaraan.

* Makanlah makananmu bersama sama dengan orang
orang yang bertaqwa dan bermusyawarahlah dengan
para alim ulamak dengan cara meminta nasihat dari
mereka.

* Hai anakku; bukanlah satu kebaikan namanya
bilamana engkau selalu mencari ilmu tetapi engkau
tidak pernah mengamalkannya. Hal itu tidak ubah
bagaikan orang yang mencari kayu bakar, maka setelah
banyak ia tidak mampu memikulnya, padahal ia masih
mahu menambahkannya.

* Hai anakku; bilamana engkau mahu mencari kawan
sejati, maka ujilah terlebih dahulu dengan berpura
-pura membuat dia marah.jika dalam kemarahan itu
dia masih berusaha menginsafkan kamu,maka bolehlah
engkau mengambil dia sebagai kawan. Bila tidak
demikian, maka berhati hatilah.

*tuturlah dengan kata-kata yang baik dan semanis wajahmu,
dengan demikian engkau akan
disukai orang melebihi sukanya seseorang terhadap
orang lain yang pernah memberikan barang yang
berharga.

* Hai anakku; bila engkau berteman, tempatkanlah
dirimu padanya sebagai orang yang tidak mengharapkan
sesuatu daripadanya. Namun biarkanlah dia yang
mengharapkan sesuatu darimu.

* Jadikanlah dirimu dalam segala tingkahlaku
sebagai orang yang tidak ingin menerima pujian atau
mengharap sanjungan orang lain kerana itu adalah sifat
riya' yang akan mendatangkan kehinaan pada dirimu.

* Hai anakku; janganlah engkau cenderung kepada
urusan dunia dan hatimu selalu disusahkanoleh dunia
saja kerana engkau diciptakan ALLAH bukanlah untuk
dunia sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih
hina daripada orang yang terpedaya dengan dunianya.

* Hai anakku;peliharalah mulutmu agar tidak
mengeluarkan kata-kata yang keji dan hina serta
kasar, kerana engkau akan lebih selamat bila berdiam
diri. Kalau berbicara, usahakanlah agar bicaramu
mendatangkan manfaat bagi orang lain.

* Hai anakku; janganlah engkau banyak ketawa kalau
bukan kerana sesuatu yang menggelikan, janganlah
engkau berjalan tanpa tujuan yang pasti, janganlah
engkau bertanya sesuatun yang tidak ada guna bagimu,
janganlah mensia-siakan hartamu.

*Barang sesiapa yang penyayang tentu akan
disayangi, sesiapa yang pendiam akan selamat daripada
berkata yang mengandungi racun, dan sesiapa yang tidak
dapat menahan lidahnya dari berkata kotor tentu akan
menyesal.

* Hai anakku; bergaul rapatlah dengan orang yang
alim lagi berilmu. Perhatikanlah kata nasihatnya
kerana sesungguhnya sejuklah hati ini mendengarkan
nasihatnya, hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah
dari mutiara katanya bagaikan tanah yang subur
lalu disirami air hujan.

* Hai anakku; ambillah harta dunia sekadar
keperluanmu sahaja, dan nafkahkanlah yang selebihnya
untuk bekalan akhiratmu. Jangan engkau tendang dunia
ini ke bakul sampah kerana nanti engkau
akan menjadi pengemis yang membuat beban orang lain.
Sebaliknya janganlah engkau peluk dunia ini serta
meneguk habis airnya kerana sesungguhnya yang engkau
makan dan pakai itu adalah tanah belaka. Janganlah
engkau bertemankan dengan orang yang bersifat talam
dua muka, kelak akan membinasakan dirimu.