4/3/10

Kenali Tokoh


Rasulullah SAW pernah bersabda:

“Konstantinopel itu akan ditawan oleh tentera Islam. Rajanya(menakhluknya) adalah sebaik-baik raja, dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera”

Ini sabda Rasulullah SAW, hampir 1000 tahun sebelum Konstantinopel ditawan.
Dan sabda Rasulullah SAW ini menjadi inspirasi kepada kaum Muslimin selepas zaman baginda untuk berusaha menakhluk Konstantinopel. 800 tahun kaum Muslimin berusaha, raja bertukar raja, jeneral bertukar jeneral, tetapi tetap tidakk mampu menakhluk Konstantinopel yang ampuh itu.Sebaik-baik raja, dan sebaik-baik tentera.


kisah jati diri keislaman Sultan Muhammad Al-Fateh. Beliau adalah pemerintah empayar Usmaniah dan telah memerintah sebanyak 25 buah negeri semasa kemuncak kegemilangannya. Beliau telah dilahirkan pada 29hb. Mac 1432 dan mangkat pada 3hb. Mei 1481, iaitu pada usia 49 tahun.

Pada masa tersebut, kota Konstantinopel menjadi kota rebutan, khususnya kerana kedudukan yang strategik. Sehinggakan ada yang mengatakan bahawa jika dunia ini mempunyai ibu negeri, maka kota Konstantinopel-lah ibu negerinya.

Rasulullah saw juga pernah bersabda bahawa pada suatu hari Kota Konstantinopel akan jatuh ke tangan orang Islam. Menurut Baginda, ianya hanya akan jatuh ke tangan Islam apabila ianya berketuakan seorang ketua yang baik, tenteranya baik dan rakyatnya juga baik. Justeru, di sepanjang lipatan sejarah, beberapa pemimpin Islam telah mencuba untuk menakluk Kota tersebut. Antaranya adalah Sayyidina Ali ra, Sayyidina Muawiyah ra, Khalifah Harun al-Rasyid dan ramai lagi, namun tidak berjaya.

Pada tahun 1453 Masehi, semasa kota Konstantinopel diperintah oleh pemerintahan Rom, ianya telah jatuh ke tangan orang Islam di bawah pemerintah Sultan Muhammad Al-Fateh. Sebagaimana dengan Salahudin Ayubi, pemerintah Islam ini telah memperlakukan para tawanan perang dengan baik. Walaupun mereka amat menyedari bahawa pihak musuh tidak pernah ada belas kasihan kepada tawanannya tatkala berkuasa.

Kebaikan Sultan Muhammad Al-Fateh ini telah digambarkan oleh Abdul Latip Talib dalam siri Novel Sejarah Islamnya yang bertajuk, “Sultan Muhammad Al-Fateh: Penakluk Konstantinopel”,

“Tuanku, semua tawanan perang dan penduduk kota Konstantinopel sudah berkumpul di kawasan lapang. Kami menunggu hukuman daripada tuanku,” kata Panglima Sulaiman Oglo.

“Saya bertemu mereka sebentar lagi,” kata Sultan Muhammad al-Fateh.

Baginda teringat kisah penaklukan kota Mekah pada zaman Rasulullah saw. Orang-orang Quraisy yang sekian lama memusuhi serta memerangi baginda dikumpulkan di depan Kaabah. Mereka menunggu hukuman yang bakal dijatuhkan oleh Rasulullah saw sambil menangis. Kini perkara yang sama berlaku di kota Konstantinopel. Tentera Rom dan mereka yang selama ini memusuhi dikumpulkan. Mereka juga sedang menunggu hukuman yang bakal dijatuhkan.

“Ya Allah, berikan aku petunjuk. Apakah hukuman yang paling baik aku jatuhkan ke atas mereka.” Bisik hatinya.

Kemudian Sultan Muhammad al-Fateh melangkahkan kakinya ke kawasan lapang di mana para tawanan perang dikumpulkan. Melihat kedatangan baginda, para tawanan itu menangis kerana menyangka hukuman mati bakal dijatuhkan ke atas mereka.

“Maharaja Konstantine mengatakan kota Konstantinopel tidak mungkin jatuh ke tangan musuh selagi ada matahari dan bulan. Tetapi hari ini ternyata kata-kata itu dusta belaka. Kota Konstantinopel yang menjadi kebanggaan kita jatuh ketika matahari sedang terbit,” ratap salah seorang daripada mereka.

“Pada hari ini kita bakal dijatuhkan hukuman mati. Darah kita disimbah ke bumi. Kemudian mayat-mayat kita dibiarkan supaya dimakan oleh anjing dan burung. Alangkah malangnya nasib kita,” balas yang lain pula.

Namun Sultan Muhammad al-Fateh bukanlah seorang pemimpin yang kejam ataupun tidak bertimbang rasa. Walaupun baginda tahu tentera Rom banyak menyebabkan kematian terhadap tentera Islam dan penduduk kota itu pula memberi bantuan namun baginda mahu mencontohi apa yang pernah dilakukan oleh Nabi Muhammad saw ketika menakluk kota Mekah. Sultan Muhammad al-Fateh berdiri di depan para tawanan lalu berkata, “Hari ini adalah hari kemenangan kepada kami, umat Nabi Muhammad saw. Kamu sudah menjadi hina dengan kekalahan ini. Sesungguhnya apabila datang yang hak lenyaplah yang batil. Apabila datang kebenaran, lenyaplah kemungkaran. Apabila datang keadilan, lenyaplah kezaliman. Sesungguhnya kami datang kepada kamu membawa yang hak. Kami membawa cahaya kebenaran dan kami menegakkan keadilan. Percayalah tidak ada sesiapa yang dianiayai pada hari mulia ini.”

Salah seorang tawanan bangun lalu berkata, “Tuanku seorang yang baik dan berhati mulia. Semoga pada hari ini kami mendapat manfaat daripada kebaikan tuanku. Maafkanlah kesalahan kami kerana kami rakyat biasa yang terpaksa mengikut arahan maharaja.”

Sambil tersenyum Sultan Muhammad al-Fateh pun bertanya, “Tahukah kamu apa hukuman yang bakal dijatuhkan ke atas kamu?”

“Tuanku seorang pemimpin yang baik. Pasti tuanku memaafkan kami,” jawab mereka.

“Sekiranya kami bukan umat Nabi Muhammad saw nescaya pada hari ini kepala kamu bercerai dari badan. Kalaulah kami bukan umat Islam nescaya pada hari ini darah kamu mengalir bagaikan sungai. Anak-anak gadis kamu diperkosa dan anak-anak kamu dibakar hidup-hidup. Tetapi agama Islam melarang kami berlaku zalim. Kami disuruh mencontohi pemimpin kami yang mulia, Nabi Muhammad saw kerana baginda sebaik-baik pemimpin yang mesti kami contohi,” kata Sultan Muhammad al-Fateh.

Bukan sahaja mereka dibebaskan dan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing, malah mereka turut dibenarkan memilih seorang ketua di kalangan mereka. Ketua tersebut diberi taraf seorang menteri untuk menjaga hal-ehwal kaum Kristian. Mereka langsung tidak dipaksa untuk menganut agama Islam, malah dibenarkan beribadat di dalam gereja-gereja.

*perkongsian dari pembacaan dan perbincangan sahabat2 muzakarah

1 comment:

  1. Masya Allah, cantiknya kepimpinan berlandaskan akhlak, iman dan taqwa...

    ReplyDelete