
Syarat-syarat busana: muslim & muslimat sesuai dengan ajaran Islam.
Syarat pertama busana Melayu itu hendaklah pantang membuka aurat. Sesiapa memakai tetapi membuka aurat, tanda imannya sudah berkarat. Tanda orang yang tidak semenggah, berkain baju berdedah-dedah. Barang siapa memakai singkap-menyingkap, tanda dirinya tidak beradab. Adab orang Melayu jati, berkain baju berhati-hati.
Syarat kedua busana Melayu itu pantang kainnya nipis, apabila berkain baju yang tipis, disitulah tempat syaitan dan iblis. Apabila memakai baju terlalu jarang, malu tak ada aib pun hilang. Sesiapa yang memakai akan pakaian yang tembus mata, tanda dirinya di dalam nista.
Syarat ketiga busana Melayu itu mestilah pantang ia berpotongan yang ketat. Tiada boleh sama sekali menampak lekuk atau liku di tubuh. Ingatlah apabila memakai yang ketat-ketat, agama hilang binasa adat. Barang siapa berbaju sempit, imannya malap jiwanya sakit. Ingatlah, tanda Melayu memegang adat pantang dia berbaju ketat. Tanda orang beriman teguh pakaian sempit memang dijauhi.
Syarat keempat busana Melayu, pantang ia mengada-ada. Membuat baju jangan suka tiru meniru, supaya tak hilang maruah Melayu. Apabila memakai ukur badan sendiri, supaya tak lupa diri sendiri, kala memakai elok menurut adat kelak tidak membawa mudarat. Ingatlah, jika memakai elok menutupi badan, supaya tidak diketawa syaitan.
Syarat kelima busana Melayu itu dilarang sekali memandai-mandai. Kerana apabila berpakaian memandai-mandai, aib tersingkap malu terburai.
Itulah pakaian mengikut kehendak agama, kehendak budi, kehendak akal.
Surah al-a'raf; 26-27
“Wahai anak adam sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian takwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian daripada tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat. Wahai anak adam, janganlah sesekali kamu dapat ditipu oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan ibu-bapamu dari syurga. Ia menanggalkan daripada kedua-duanya pakaiannya untuk memperlihatkan kepada kedua-duanya auratnya….”
Ingat bahwa “Allah itu indah, suka sekali dengan yang indah”. Suka sekali untuk saya sambungkan “Wanita itu indah, andainya aurat tertutup indah”. Allahu’allam. Moga-moga kita mendapat manfaat bersama.
Pasang kubu berlapis-lapis,
Kubu berlapis kuat diserang,
Pantang Melayu berbaju tipis,
Berbaju tipis adatnya hilang.
Memasang rantai berjela-jela,
Tanda ikatnya tiada kukuh,
Orang memakai mengada-ada,
Tandanya sifat tidak senonoh.
Apabila menuai berlalai-lalai,
Habislah padi dimakan ulat,
Bila memakai memandai-mandai,
Habislah budi binasalah adat.
Cekak musang berleher tegak,
Tingginya hingga dua jari;
Nampak butang hati tergerak,
Dirinya ingat kepada Ilahi
“Adapun busana itu cerminnya iman. Cerminnya akhlak, cerminnya tamadun,cerminnya bijak. Tinggi ilmu sesuatu bangsa diukur pada busananya. Busanalah petunjuk dan pedoman kita untuk menilai hebat atau tidak, halus atau kasar budaya”.